Ibu Ku Kembali Ke Rahmatullah
DariNya kita datang kepadaNya kita kembali.
Ibu ku yang dikasihi Hajjah Che Guan bin Dahaman bin Said bin Akil bin Ah Seng (atas kerusi roda) telah kembali kerahmatullah pada jam 4.30 petang bertarikh 21 Safar 1430 bersamaan 17 Februari 2009.
Seorang pejuang muslimat sejak PAS ditubuh di Malaya, meninggal dalam usia 85 tahun kerana beliau telah dilahirkan pada tahun 1924.
Aku sering memberitahu sahabat-sahabat seperjuanganku ketika dalam program motivasi atau tamrin bahawa aku sudah PAS dari dalam perut ibu.
Kerana, ibuku sering keluar berkempen sebagai juru dakwah muslimat di segenap ceruk rantau negeri Kedah , walaupun ketika sedang mengandungku.
Malah aku pernah ingat, ketika aku masih kecil sekitar tahun 1968, ketika sedang tidur di ribaan ibuku di rumah ibu saudaraku seorang UMNO/perikatan semasa itu di Changloon.Ibuku berkempen kepada ibu saudaraku agar menyokong perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS untuk menegakkan hukum Allah Taala di atas muka bumi ini.
Ibu saudaraku yang UMNO itu menjawab, "tak boleh Gon masuk parti pembangkang, nanti kita dahaka kat kerajaan, kerajaan tu raja, jadi kita dahaka kat raja, pantang Melayu dahaka kat raja."Perkataan itu masih tergiang-giang melekat di telinga aku sehingga sekarang.
Mak aku jawab, "Nak dahaka kat raja pasai apa, PAS nak tegak hukum Allah Taala, takkan Kak takut dahaka kat kerajaan (raja) lebih takut dari dahaka kat Tohan (Tuhan)"Itulah keberanian ibuku yang mungkin tidak boleh ditandingi oleh aku, dimana sahaja beliau berada beliau tetap akan memperkatakan mengenai kebaikan sistem Islam, dan ia perlu ditegakkan dimuka bumi Allah walaupun dibenci oleh semua manusia, bahkan ketika aku menemaninya disaat akhir denyut nadinya, masih memberi nasihat mengenai keperluan berjuangan menegakkan Islam di atas muka bumi Allah swt.
Alhamdulillah, semua anak-anak ibu saudaraku itu sekarang telah lama menyertai PAS, dan mungkin tidak menyedari bahawa Allahyarhamah ibu mereka adalah UMNO/Perikatan satu ketika dahulu.
"Adik (panggilan manja aku di rumah) orang pejuangan, mesti berjuang Islam dan usaha supaya buleh laksanakan hukum Islam di Malaysia ni... jangan dok redha hukum kapiaq (kafir) di buat oleh UMNO, kita ni orang Islam mesti ikut hukum Islam, Komeneh (Komunis) takdak Tohan boleh suruh rakyat ikut hukum depa.... pasai apa kita tak boleh?" antara yang selalu diucapkan dalam sela-sela nafas yang kadang-kadang sesak.
Banyak kenangan manis hidupku bersamanya, lebih-lebih lagi ketika beliau semakin uzur sejak Raya Aidil Adha lalu. Sambil membaca Al-Quran dihujung telinganya, kadang terpaksa berhenti untuk mendengar celoteh dan nasihatnya mengenai kehidupan, kematian, isu antarabangsa, pembinaan kekeluargaan Islam, Al-Quran, kisah sahabat, kisah seloka Melayu, pantun, resepi masakan, cerita kempen muslimat zaman dulu, ekonomi keluarga dan macam-macam kisah yang kadang kami sekeluarga terkedu, serius dan ketawa kegembiraan.
Beliau, Meninggalkan kami seramai enam orang iaitu aku (anak bongsu), Kakak sulong Zainab, Kakak kedua Halimah, Abang sulong Shamsudin, Kakak ketiga Adnah dan Abang kedua Mohd Nasir.
Semoga Allah Azzawajalla mencucuri rahmat ke atas rohnya. Ameen InsyaAllah ibuku... Aku akan meneruskan perjuangan mu untuk menegakkan Islam yang syumul di atas muka bumi Allah swt ini sedaya upayaku selagi hayat dikandung badan di bawah lembayung rahmat dan petunjuk Allah swt.
petikan dari http://arisawang.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment