Kubang Rotan menang 2-1




Alhamdulillah... Petang tadi (15 April 2010) satu lagi perlawanan persahabatan berjaya diatur oleh Pengurus dan Pegawai Team DUN Kubang Rotan yang diadakan di Stadium Suka Menanti. Perlawanan petang tadi menentang Pasukan Pilihan TUDM Kepala Batas berkesudahan DUN Kubang Rotan menang dengan jaringan 2 - 1.
Kesebelasan Utama pasukan kita mampu mengekang kemaraan TUDM malah menguasai permainan pada separuh masa pertama dan banyak peluang keemasan gagal dimanfaatkan dengan baik. Walau bagaimanapun pasukan TUDM menghadiahkan gol sendiri membawa kedudukan 1-0 di separuh masa.
Babak kedua TUDM menyamakan kedudukan menjadikan 1-1. namun kedudukan ini hanya seketika setelah Kubang Rotan menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit terakhir perlawanan menerusi penyerang berbisa kita, Mohd Rafie menjadikan kedudukan 2-1 hingga tamat perlawanan.
Kemenangan ini merupakan satu semangat baru yang menyuntik kepada semua pemain dan pegawai serta Jurulatih dalam memperkemaskan lagi pasukan kita.
Walaupun team baru yang dibentuk selepas pemilihan pada 3 April lalu, sudah 2 perlawanan persahabatan telah diadakan. Perlawanan pertama bertemu pasukan Anak Nelayan Kuala Kedah berkeputusan DUN Kubang Rotan menang tipis 1 - 0.
Menurut Pengurus Pasukan, Sdr Mazhar Yusof banyak jemputan yang diterima oleh beliau untuk perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan di kawasan sekitar daerah ini namun apa yang lebih penting ialah semangat berpasukan, skill, taktikal yang bakal dibentuk dalam dream team ini ialah ke arah untuk mencapai kemenangan sebenar di mana persaingan Liga MB Kedah akan bermula pada 8 Mei depan.
Beliau cukup optimis dengan Jurulatih Mohamad bin Ramlee, Shakri bin Mat, Razali bin Majid serta beberapa orang pembantu pasukan ini dapat bersaing ke peringkat seterusnya.
YB Mohd Nasir yang turut bersama menyaksikan perlawanan petang tadi turut melahirkan kesyukuran apabila melihat komitmen yang ditunjukkan oleh pemain dan Jurulatih pasukan. Beliau turut yakin dengan kemampuan jurulatih dan pemain-pemain mampu menggalas cabaran ini pada persaingan sebenar di Liga MB Kedah nanti.
Beliau berharap kekuatan mental dan fizikal dapat dimantapkan lagi pada perlawanan persahabatan dengan DUN Ayer Hitam yang bakal diadakan di Stadium Mini Jitra 18 April ini jam 5.00 petang.
Kepada penyokong DUN Kubang Rotan beramai-ramai kita ke Stadium Mini Jitra nanti bagi memberi sokongan padu kepada pasukan kita.

0 comments: