Solidariti rakyat menolak ISA

Perhimpunan Mansuhkan ISA di Kuala Lumpur 1 Ogos lalu berjaya menghimpunkan puluhan ribu rakyat dari pelbagai kalangan latarbelakang, agama dan bangsa, menyatakan kesepakatan menolak kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Walaupun tidak berjaya menghantar memorandum bagi merayu Yang DiPertuan Agong supaya menggunakan budibicara baginda untuk memansuhkan ISA akibat pelbagai sekatan dan halangan dari pihak polis, namun mesej rakyat berjaya disampaikan.

Pihak istana khususnya Raja-raja Melayu seharusnya mengambilkira bantahan besar-besaran rakyat dari sudut yang positif, iaitu rakyat menuntut keadilan dan sepakat menolak kezaliman ISA.

Media arus perdana yang dikawal Barisan Nasional cuba menggambarkan sebaliknya. Mereka cuba memaparkan kononnya para peserta Himpunan Mansuhkan ISA bertindak ganas, akibat dipengaruhi orang politik yang mempunyai kepentingan tertentu.

Tiada kepentingan individu politik dalam hal ini, tiada kepentingan mana-mana parti politik. Tetapi jelas usaha memansuhkan ISA adalah antara agenda politik bagi Pakatan Rakyat, bukan untuk kepentingan sekelompok manusia, tetapi ia adalah untuk kepentingan seluruh rakyat.

Media arus perdana cuba melarikan isu asas tentang mengapa rakyat berhimpun bagi mendesak Kerajaan Umno-BN supaya memansuhkan ISA.Pakatan Rakyat mendukung perjuangan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) kerana selama Umno-BN berkuasa, mereka banyak mengambil kesempatan politik yang dibenarkan oleh Perlembagaan yang menguatkuasakan ISA.Pemimpin Umno-BN menggunakan ISA untuk melindungi kepentingan politik mereka. ISA memberi kuasa kepada polis yang dibawah arahan Menteri Dalam Negeri, untuk menahan sesiapa sahaja yang disyaki atas alasan menggugat keselamatan negara.

Mereka yang ditahan di bawah ISA tidak punyai hak untuk membela diri, mereka dituduh, dijatuhkan hukuman dan ditahan di Kem Tahanan Kemunting tanpa sebarang pembelaan dari sudut undang-undang.Tahanan ISA adalah mangsa kezaliman. ISA bercanggah dengan demokrasi dan mencabul hak asasi manusia. Tahanan dipisahkan daripada anggota keluarga dan masyarakat, tanpa ada ruang untuk membela diri.Suatu ketika Akta ISA digubal pada tahun 1960 adalah untuk mengekang pengaruh golongan kiri sama ada komunis.Namun akibat kerakusan dan ketamakan kuasa ISA disalahgunakan untuk melindungi salahlaku politik pemimpin Umno-BN.Rakyat yang berhimpun sebenarnya amat merasai kezaliman yang ditimpakan Umno-BN ke atas mangsa-mangsa tahanan ISA yang tidak berdosa.


Mereka juga menyedari apakah implikasi atau bahana yang akan menimpa jika mereka melanggar undang-undang negara.Rakyat hanya mahu berhimpun secara aman, mereka mahu menunjukkan solidariti menolak kezaliman ISA dan mahu merayu kepada YDP Agong agar mempertimbangan kepentingan rakyat seluruhnya.Rakyat yang berhimpun tidak melakukan apa-apa kesalahan, mereka tidak merusuh atau mengganas seperti yang digambarkan, mereka sebenarnya menjadi mangsa provokasi polis.

Jelas, di sebalik ugutan dan amaran polis, rakyat tetap komited berhimpun. Perhimpunan mansuhkan ISA menunjukkan keberanian rakyat yang semakin berani bersuara untuk mempertahankan dan melindungi hak mereka.Sebenarnya sudah tiada justifikasi ISA dikekalkan. Umno-BN harus sedar bahawa implikasi penolakan ini amat besar dari sudut politik. Ia bakal memberikan impak yang buruk kepada Umno-BN jika tetap enggan tunduk kepada aspirasi rakyat.

Post By Admin
Sumber : http://mohdrashidi.blogspot.com/

0 comments: