ALOR SETAR, 19 Jan (Hrkh) - Sultan Kedah, Tuanku Sultan Abdul Halim Mua'adzam Shah bertitah mengingatkan anggota perkhidmatan awam yang berkhidmat di negeri ini agar mengutamakan kepentingan rakyat dan menumpahkan taat setia kepada Kerajaan Negeri.

Baginda turut memuji keberkesanan pentadbiran yang diterajui Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, sekali gus berjaya mengikis pandangan negatif sesetengah pihak yang tidak yakin kepada kemampuan Kerajaan Kedah Darulaman.

"Konsep keadilan yang diterapkan di dalam pentadbiran negeri telah mewujudkan suasana yang mesra, adil, harmoni dan saling bekerjasama bagi mencapai halatuju yang telah ditetapkan.

"Kehidupan rakyat berbilang kaum semakin bersatu padu, kewangan kerajaan negeri adalah stabil manakala keyakinan pelabur semakin meningkat," demikian antara titah Tuanku Sultan Kedah sempena Majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah Serta Bintang-Bintang Kebesaran Sempena Hari Keputeraan baginda yang ke 81 di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, di sini, semalam.

Ketika menegur anggota perkhidmatan awam baginda bertitah, "Beta ingin mengingatkan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam yang berkhidmat di negeri ini agar mengutamakan kepentingan rakyat negeri ini dan menumpahkan taat setia kepada Kerajaan Beta.
"Selaras dengan pepatah Melayu, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

"Amanah yang dipertanggungjawabkan kepada semua ketua jabatan khususnya adalah untuk memajukan negeri ini mengikut skop jabatan masing-masing hendaklah ditunaikan dengan ikhlas."

Dalam titah ucapan itu, baginda sultan menyifatkan semangat bekerjasama tanpa mengira fahaman politik seperti yang diamalkan oleh kerajaan negeri ini sangatlah dibanggakan dan hendaklah diteruskan demi faedah rakyat.

"Sudah sampai masanya, semua pihak memandang ke hadapan dan mencari jalan untuk memberi sumbangan yang optima kepada pembangunan negeri ini," titah baginda lagi.
Petikan dari HarakahDaily.Net

0 comments: