Muktamar Ke 55- Coretan 1

BEBERAPA hari lalu seluruh rakyat di Malaysia, terutamanya ahli dan penyokong PAS sudah mengetahui siapa yang layak bertanding pada pemilihan menentukan kepimpinan PAS Pusat bagi sesi Muktamar Agung kali ke – 55 yang akan di adakan pada 4 hingga 7 Jun nanti. Badan Perhubungan PAS Selangor bersiap sedia menanti hampir 10 ribu pengunjung yang terdiri dari perwakilan dan pemerhati untuk Muktamar Penuh PAS Pusat, Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulamak.

Seperti yang dijangkakan awal-awal lagi YB Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang mengekalkan jawatan Presiden Parti Islam Se-Malaysia setelah 136 daripada 137 kawasan telah mencalonkan beliau untuk jawatan tersebut. Tahniah!!! Tuan Guru di atas amanah ini.

Seramai 2 orang calon pengerusi tetap, 6 orang calon timbalan pengerusi tetap, 5 orang calon timbalan Presiden, 16 orang orang calon naib Presiden, 86 orang calon ahli jawatankuasa kerja, dan 6 orang calon pemeriksa kira-kira yang layak bertanding dalam pemilihan kali ini.

Jawatan yang menjadi tumpuan pada kali ini ialah perebutan jawatan Timbalan Presiden iaitu seramai lima calon yang layak bertanding iaitu YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa (Penyandang/MP Bachok), YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abd Razak (MB Kedah / Pesuruhjaya PAS Kedah), Dato' Dr. Haron Din (Timbalan Mursyidul Am PAS), YB Dato’ Paduka Haji Husam Musa (Naib Presiden / EXCO Kelantan) dan Haji Mohamad Sabu (Naib Presiden).

Manakala tak kurang hebatnya bagi jawatan Naib Presiden pula seramai 16 orang calon layak bertanding iaitu Ustaz Haji Ahmad Awang, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abd Razak, YB Dato’ Ustaz Haji Harun Taib, YB Dato' Dr Hj. Hassan Mohd Ali, YB Dato’ Haji Husam Musa, Ustaz Haji Idris Haji Ahmad, YB Dato’ Kamarudin Jaffar, YB Dato' Haji Mahfuz Omar, Haji Mohamad Sabu, YB Ustaz Mohd Amar Abdullah, YB Dr. Mujahid Haji Yusof Rawa, YB Ustaz Haji Nasharudin Mat Isa, YAB Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin, YB Salahuddin Ayub, YB Ustaz Haji Taib Azamuddin Md Taib dan Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man. Selanjutnya, sila rujuk di sini http://muktamar55.pas.org.my/index.php?option=com_content&view=article&id=91:senarai-calon-yang-layak-bertanding-dalam-pemilihan-muktamar-tahunan-pas-ke-55&catid=50:berita-sebelum-muktamar&Itemid=7255&catid=50:berita-sebelum-muktamar&Itemid=72

Inilah nama-nama yang akar umbi, PAS Kawasan-kawasan ketengahkan bagi mengangkat pemimpin yang dikira layak menyandang jawatan-jawatan yang perlu diisi bagi setiap dua tahun sekali sebagaimana yang diperuntukan di dalam Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS). Jawatan-jawatan ini dibolehkan bertanding setelah mereka melepasi kelayakannya.

Walaubagaimanapun, kesemua senarai calon yang layak bertanding boleh menolak pencalonan tersebut dan calon yang tidak memberikan jawapan pula dianggap menolak pencalonan tersebut.

TERIKINI… Kelmarin YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah melalui kenyataan media oleh Setiausaha Akhbarnya Mohd Helmi Mohd Khalid telah mengumumkan menarik diri dari bertanding jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden PAS. Beliau hanya akan bertanding untuk jawatan AJK Kerja PAS Pusat yang disandangnya kini. Beliau yang pernah menjadi Naib Presiden PAS itu juga ingin menumpukan perhatian untuk memperkemaskan jentera pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah dan parti di peringkat negeri. Kenyataan itu dipetik sebagai berkata pihaknya amat menghargai PAS Kawasan-kawasan yang telah membuat pencalonan untuk pertandingan kedua-dua jawatan itu.


Ustaz Azizan antara lima orang yang dicalonkan bertanding, melepaskan peluang jawatan tersebut kepada mereka yang lebih layak dan lebih muda untuk memimpin PAS di peringkat nasional

Manakala dalam perkembangan yang sama, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu telah mengesahkan akan bertanding jawatan tersebut.

Semoga niat suci murni YAB Menteri kita itu akan memberikannya lebih keyakinan dalam semua urusan parti termasuklah hal berkaitan kerajaan negeri. YAB Menteri Besar Kedah juga berkata beliau akan bertanding mempertahankan jawatan anggota jawatankuasa kerja pusat yang disandangnya sejak lebih 10 tahun. "Saya telah lama dalam parti dan jika ada orang lain yang lebih layak dan lebih muda, berilah peluang kepada mereka untuk memimpin PAS di peringkat nasional", katanya.

Penulis mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua perwakilan yang bakal membuat pemilihan, pemerhati, agen calon, ahli-ahli parti di semua peringkat supaya janganlah menggunakan ruang yang ada ini untuk berkempen secara tidak sihat. Memburukkan calon-calon yang bertanding kerana untuk mempastikan calon pilihan masing-masing mendapat undi adalah sesuatu yang tidak bermoral lari dari ciri sebuah parti Islam. Perwakilan kini bijak membuat pilihan siapa yang layak untuk diisi pada jawatan Timbalan, Naib dan AJK Kerja.

Semua calon-calon yang layak ini ada latarbelakang masing-masing. Ada yang mewakili Ulamak, ada yang mewakili Intelek dan professional, ada yang mewakili akar umbi. Dari mana datangnya mereka ini yang penting sekali perjuangan PAS perlu dipertahankan dan janganlah dengan sedikit ujian ini kita sanggup menyembunyikan dasar perjuangan kita.

Saya juga menasihatkan semua sahabat-sahabat di luar sana supaya janganlah banyak melawak dalam soal ini. Kadang-kadang benda lawak boleh jadi sungguh. Contoh satu pagi di kedai kopi apabila saya singgah untuk minum. Saya jemput kawan minum bersama apabila melihat dia bangun disebabkan nak teruskan tugasnya di pasar. “Nak pi mana, mai minum dulu”, saya menegurnya. Lantas dia menjawab, “Maaf aku orang Husam”. Cakapnya itu memang melawak. Saya tahu dia bukan pun perwakilan, saya pun bukannya perwakilan. Pi kat situ pun bukan apa, singgah minum je. Jadi jemput minum kopi, pi jawab macam tu, pelik juga kita. Nak melawak pun tengok la tempat. Memang ahli PAS amat prihatin dengan isu pemilihan ini. Nak pemimpin yang terbaik. Bukan macam Umno nak menang kena ikut banyak mana pelaburan yang dibuat. Kekadang ayat-ayat melawak itu apabila didengari pihak yang tak bertanggungjawab dilihat sebagai sesuatu yang sungguh-sungguh.

Semakin kuat iman mereka, maka semakin besarlah ujian yang dihadapi. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Manusia yang paling getir menghadapi ujian ialah para nabi, kemudian orang-orang soleh, kemudian orang seumpamanya, seseorang lelaki diuji mengikut tahap Agamanya (Iman).” Kehidupan di dunia yang sementara ini bukanlah perhentian akhir dalam perjalanan hidup manusia. Ia merupakan jambatan untuk sampai ke akhirat. Hidup di dunia adalah suatu ujian. Setiap manusia tidak akan terlepas dari ujian Allah samada ujian kesusahan atau kesenangan.

Bercakaplah sesuatu itu dengan terbaik dan dalam keadaan sempurna iman. Ingat!!! Ujian getir paling dahsyat sedia menunggu di depan sana. Selamat Berjuang, selamat bekerja, selamat bermuktamar, selamat membuat pembaharuan. Allahu Akbar!!!



posted by admin

0 comments: