Al-Ghazali ialah Abu Hamid Mohamad Ibni Mohamad Ibni Mohamad Ibni Ahmad al-Ghazali. Beliau dilahirkan pada tahun 450H di Kampung Ghazalah, negeri Tus, negara Parsi. Beliau menerima pendidikan awalnya di Negeri Tus kemudian menyambungnya di Naisabun dan berguru dengan al-Jewini yang dikenali sebagai Imam al-Haramain. Selepas itu al-Ghazali berpindah ke Baghdad dan bekerja sebagai guru di al-Madrasah al-Nizamiah, terus terkenal khususnya selepas bertalu-talu penulisannya mengenai ilmu falsafah, akhlak dan politik diantaranya: al-Falsafah wa al-Akhlak, Mizan al-Amal, Ihyak Ulum al-Din, al-Iktisad Fi al-I’tiqad, al-Mustazhiri dan al-Tibri al-Masbuk Fi Nasihat al-Muluk. Dikatakan bahawa beliau meninggal dunia di negeri Tus pada tahun 505H, selepas kehidupan yang penuh dengan pengajaran dan penulisan.

Kitab “al-Timbri al-Masbuk Fi Nasihat al-Muluk” pada asalnya ditulis dengan bahasa Parsi kemudian diterjemahkan ke bahasa Arab dan bahasa Turki. Isi kandungan buku ini menggambarkan teorinya mengenai tingkahlaku akhlak dalam pemikiran politik, sedangkan perkara yang diketahui bahawa kajian-kajian pengurusan umum termasuk dalam kajian ilmu politik sehingga akhir kurun lepas. Al-Imam al-Ghazali memasukkan dalam bukunya beberapa panduan tunjuk ajar yag ditunjukkan pada asasnya kepada Sultan Mohamad Ibni Malik Shah. Ia dianggap pesanan wasiat yang sepuluh dalam teori tingahlaku akhlak dalam kepimpinan pengurusan.

Dr. Klod George (1968) dalam kitabnya “Tarikh al-Fikri al-Idari” (Sejarah Pemikiran Pentadbriran) memuji al-Ghazali beserta kitabnya dan menyifatkan kandungannya sebagai panduan serta nasihat kepimpinan pengurusan dan pentadbiran yang penuh hikmah (sage managarial advice), usul-usul keadilan serta keinsafan yang sepuluh berasaskan keimanan dan bercabang darinya. Di antara kandungannya ialah:

“Ketahuilah wahai Sultan (pemerintah/pentadbir) bahawa segala apa yang dalam hati manusia dari makrifat atau kepercayaan merupakan asal iman. Dan apa yang dilakukan oleh anggota-anggotanya (yang tujuh) dari ketaatan serta keadilan, merupakan cabang iman. Jadi jika cabang itu layu (tidak cergas) boleh menunjukkan kelemahan harapan, ia sesungguhnya tidak akan kekal apabila tiba waktu kematian, usaha dan amalan badan melambangkan keimanan hati. Perbuatan atau kelakuan dan menunaikan fardhu-fardhu terbahagi kepada dua bahagian: Pertama: menunaikan haji, zakat, menjauhkan dari meminum arak atau melakukan perkara haram, yakni perkara-perkara di antara kamu dan Allah. Yang kedua pula ialah perkara-perkara di antara kamu dan manusia iaitu keadilan di antara rakyat dan memberhentikan kezaliman.

“Asas utama untuk melaksanakan perkara ini ialah mengerjakan segala perintah Allah serta menjauhkan segala larangan-Nya. Di samping melakukan apa yang patut berlaku jika terdapat pemerintah yang lain dan kamu sebagai rakyat di bawahnya (lakukan segala apa yang diredhai oleh rakyat). Dan ketahuilah bahawa segala apa yang di antara kamu dan Allah, sesungguhnya kemaafan –Nya amat dekat. Tetapi segala apa yang ada di antara kamu dan manusia tidak ada kepastian mendapat kemaafan. Jadi ia merupakan bahaya yang serius pada hari kiamat kelak. Tidak ada mana-mana raja yang boleh selamat kecuali raja yang adil dan insaf serta mengetahui bagaimana mendapat kemaafan pada hari kiamat kelak”.

Inilah asas akidah bagi kaedah-kaedah serta keinsafan menurut al-Ghazali.

Usul Keadilan dan Keinsafan al-Ghazali

1. Al-Ghazali mahukan Sultan (pentadbir) mengetahui pentingnya tugas sebagai pentadbir serta tanggugjawab supaya dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

2. Perlunya selalu berbincang serta mendengar nasihat dan tunjuk ajar dari ulama’-ulama’ yang berwibawa dan ikhlas bukan ulama’ suk.

3. Sultan (pentadbir) dikehendaki jangan melakukan kezaliman di samping menjaga dan mengawas pegawai-pegawai serta menegah mereka dari melakukan kezaliman terhadap rakyat kerana pada hari kiamat, dia akan ditanya mengenai apa yang telah dilakukan oleh pegawai-pegawai di bawahnya.

4. Perlu menjauhkan diri dari perasaan marah serta sombong.

5. Perlu mempunyai kesanggupan untuk menimbangkan suasana dan keadaan orang lain.

6. Perlu cepat-cepat melaksanakan kehendak rakyat.

7. Jauhkan serta jangan tenggelam timbul dalam syahwat yang boleh mengabaikan dari menunaikan tanggungjawab.

8. Perlunya menggunakan cara yang lemah lembut dalam melayani rakyat dan janganlah berlaku kasar. Sabda Rasulullah (s.a.w) yang bererti bahawa pada hari kiamat, Allah tidak akan berlembut dengan mana-mana pemimpin atau pemerintah yang tidak berlembut dengan rakyatnya.

9. Perlunya berusaha mencari keredhaan rakyatnya, jika ia tidak bertentangan dengan hukum-hukum syarak.

10. Janganlah mencari keredhaan sesiapa dalam apa-apa hal yang berlawanan dengan syarak.

Inilah sepuluh usul yang boleh membendung salah laku kepimpinan pengurusan dan pentadbiran menurut Islam.

1 comments:

faisal said...

harap YB dapat cetak kan catatan di atas dan edarkan secara peribadi kepada ketua pentadbir negeri serta barisan jawatankuasa pentadbiran agar semua dapat diperingatkan akan tugas dan tanggungjawab masing masing.
Sesungguhnya Islam itu nasihat menasihati.