Pendekatan kredit mikro dalam membasmi kemiskinan diperkenalkan oleh Prof. Muhamad Yunus di Bangladesh pada tahun 1976 dan sejak itu telah berkembang ke seluruh dunia. Perkembangannya di Malaysia berlaku pada tahun 1986, diusahakan oleh Prof. David Gibbons dan Prof. Madya Sukor Kasim, pada waktu tersebut masih berkhidmat dengan USM. Projek awal untuk menguji kesesuaian pendekatan Bank Grameen ini yang dikenali sebagai Projek Ikhtiar yang dikendalikan oleh USM dan dibiayai oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM), Pusat Pembangunan Asia Pasifik (APDC) dan Kerajaan Negeri Selangor.
Projek Ikhtiar, iaitu satu projek penyelidikan bertindak yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Dasar (PPD) USM adalah satu kajian bagi menguji Pendekatan Bank Grameen (PBG) di dalam mengurangkan kemiskinan luar bandar dengan menyerahkan hak kredit mikro kepada golongan miskin. Penyaluran kredit mikro ini adalah bagi membiayai apa sahaja usaha bagi meningkatkan pendapatan serta memperkukuhkan golongan miskin ini dengan pengurusan bersama pihak AIM demi kesinambungan dan kejayaan program.
Sejarah berkembangnya AIM berkait rapat dengan penubuhan Bank Grameen. Sejarah bermulanya Bank Grameen adalah apabila Dr Muhammad Yunus, Pensyarah Ekonomi di Universiti Chittagong Bangladesh menjalankan kajian pada tahun 1976 mengenai golongan miskin yang jarang melibatkan diri dalam dunia perbankan. Daripada kajiannya mendapati golongan miskin ini tidak berupaya untuk meningkatkan taraf hidup mereka adalah kerana tidak mempunyai modal yang mencukupi.
Oleh itu, Prof. Yunus mencadangkan bahawa jika golongan miskin ini diberi suntikan modal pada masa dan situasi yang betul pasti akan dapat membina sebuah pembangunan yang pesat.
Prof. Yunus dengan bantuan wang peribadinya sendiri memulakan perbankan dengan golongan miskin yang mana pada masa itu, pelajarnya sendiri telah menyenaraikan hampir 42 nama mereka yang terdiri daripada golongan miskin di Kampung Jobra terletak di pinggir kampus. Mereka yang terpilih adalah golongan miskin yang difikirkan layak untuk diberi bantuan pinjaman.
Antara objektif yang dikemukakan oleh Prof Yunus pada ketika itu bagi meminjamkan wang kepada golongan miskin ini ialah memperluaskan kemudahan perbankan kepada golongan miskin, mengelakkan golongan miskin ini dari ditindas oleh lintah darat dan memberikan pinjaman kepada golongan miskin ini berdasarkan syarat yang lebih teratur dan senang difahami. Berdasarkan disiplin bayar balik yang memuaskan memberikan satu idea kepada Yunus untuk memperluaskannya kepada satu sistem perbankan yang lebih teratur.
Dari sehari ke sehari perbankkan Prof.Yunus dengan golongan miskin makin berkembang dan Prof. Yunus mula mencari bank-bank yang berminat untuk membiayai program ini. Namun tiada mana-mana bank yang berminat pada ketika itu dan ini memaksa Prof Yunus untuk meminta kerajaan Bangladesh mengisytiharkan lesen perbankkan kepadanya.
Hasil usaha gigih Prof Yunus selama ini berbaloi apabila pada 2hb Oktober 1983, wujudlah Projek Bank Grameen. Projek ini semakin berkembang dengan pesat sehingga kini wujudlah Bank Grameen dan bukan lagi Projek Bank Grameen.
Pendekatan Bank Grameen di Malaysia bermula di Barat Laut Selangor
Di Malaysia pendekatan Bank Grameen mula dilakukan melalui kajian-kajian di Barat Laut Selangor yang bermula dengan projek perintis selama dua setengah tahun, melibatkan 373 orang isi rumah termiskin yang menerima pinjaman kebajikan pertama mereka. Di akhir projek Ikhtiar sekurang-kurangnya 90 peratus bayaran balik diterima termasuk modal pinjaman dan kos pengurusan. Ini membuktikan program ini telah berjaya.
Di peringkat awal pengenalan projek seramai 232 orang Sahabat lelaki dan 141 orang Sahabat wanita telah menerima pinjaman mereka. Kepelbagaian projek telah dijalankan oleh Sahabat-Sahabat antaranya kedai runcit, kedai makan, berniaga pasar tani, tanaman sayur, tanaman padi dan ternakan binatang mengikut kemahiran dan pengalaman yang ada pada mereka.
Pada akhir Jun 1988, satu kajian telah dijalankan ke atas Sahabat-Sahabat ini untuk mengenalpasti status projek yang dijalankan. Hasil kajian menunjukkan Sahabat-Sahabat wanita ternyata lebih unggul dalam menjalankan projek mereka. Kadar peratusan bayar balik yang tinggi iaitu 95 peratus berbanding Sahabat lelaki 75 peratus sahaja.
Kajian impak yang dijalankan juga menunjukkan peningkatan pendapatan lebih ketara pada Sahabat wanita iaitu tambahan sebanyak RM136 sebulan berbanding Sahabat lelaki hanya RM65 sahaja sebulan. Kejayaan besar yang ditunjukkan oleh Sahabat-Sahabat telah memberi keyakinan kepada jawatankuasa pengasas untuk meneruskan pengembangan projek Ikhtiar ke negeri-negeri yang mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi.
Kehadiran ke Mesyuarat Pusat juga menunjukkan perbezaan yang agak ketara antara Sahabat lelaki dan Sahabat wanita. Sahabat lelaki yang hadir ke Mesyuarat Pusat di tahap 60 peratus dan Sahabat wanita melebihi 85 peratus pada setiap minggu. Kadar kehadiran yang agak rendah di kalangan Sahabat lelaki dengan alasan mencari nafkah mungkin ada logiknya. Sewajarnya Ikhtiar menetapkan kaum wanita menjadi wakil untuk menyertai Ikhtiar.
Kelebihan AIM Dalam Pendekatan Disiplin Kredit Mikro
Sehingga kini, dapat dilihat bahawa projek AIM dalam membantu golongan miskin untuk meningkatkan taraf hidup mereka adalah sangat berjaya dan sungguh memberangsangkan. Bagi melihat punca kejayaan ini kita haruslah meneliti pendekatan yang digunakan oleh AIM dan juga kelebihan-kelebihan lain yang dimiliki oleh AIM.
Kejayaan AIM adalah kerana konsep yang diamalkan oleh AIM sendiri iaitu memberikan pinjaman tanpa cagaran, tanpa penjamin mahupun tindakan undang-undang dalam mendapatkan semula wang pinjaman.
Sikap keterbukaan AIM dalam memberikan pinjaman ini menyebabkan AIM mudah menjangkau dan mendapatkan sahabat dalam menyertai AIM dan ini terbukti apabila sehingga pertengahan 2004, seramai 94000 telah menyertai AIM.
Sebagai Badan Amanah Persendirian yang berdaftar, AIM ditadbirurus oleh Lembaga Pemegang Amanah yang mana keahliannya terdiri daripada Unit Perancang Ekonomi (UPE) dan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPP) Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, wakil dari Kerajaan Negeri Selangor dan juga mereka yang dilantik dalam kapasiti peribadi.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah yang terdiri daripada pelbagai pihak ini memberikan jaminan yang segala urusan AIM adalah adil dan tiada penyelewengan memandangkan segala projek AIM diawasi oleh pelbagai pihak dan dengan ini memberikan keyakinan kepada orang ramai dalam menyertai AIM.
Dalam menjalankan projeknya, AIM menempatkan antara tujuh hingga sembilan Pembantu Amanah di setiap cawangan dengan bidang tugas mereka mengesan dan mencari isirumah miskin. Mereka melakukan tugas ini dengan mengendalikan ujian kelayakan, menyediakan pelan peningkatan kesejahteraan hidup isirumah dan akhirnya memperkukuhkan ekonomi golongan miskin ini dengan modal Ikhtiar yang diberikan serta pengurusan bersama yang dijalankan.
Mesyuarat Pusat yang diwajibkan kepada para Sahabat juga menjadi asas kepada kejayaan AIM, ini adalah kerana dengan mesyuarat mingguan ini AIM dapat menilai, memantau dan membimbing para Sahabat yang akhirnya menjamin kejayaan kepada semua sahabat.
Kejayaan AIM dalam menyalurkan modal kepada golongan miskin juga adalah kerana sumbangan yang banyak yang diterima oleh AIM dan ini mengelakkan AIM dari dibelenggu masalah untuk mendapatkan dana modal pusingan. Sokongan Kerajaan Malaysia menyalurkan dana sebagai modal pembiayaan untuk dana AIM.
Selain itu, kejayaan AIM juga adalah disebabkan para sahabat sendiri, terutamanya kaum wanita. Ini kerana daripada kajian yang dijalankan didapati golongan wanita miskin ini adalah lebih bertanggungjawab, meningkatkan kesejahteraan keluarga terutamanya terhadap anak-anak mereka dan pandai mengambil peluang yang ada bagi memperbaiki taraf hidup diri sendiri dan keluarga. Golongan wanita miskin ini juga didapati sanggup berkorban untuk masa depan keluarga yang lebih cerah. Dengan motivasi yang tinggi inilah telah mendorong para sahabat ini untuk berusaha dengan gigih di samping mendapat bimbingan daripada AIM dan akhirnya menjamin kejayaan AIM.
Oleh itu secara keseluruhannya dapat dirumuskan bahawa kejayaan AIM dan berkembangnya projek AIM adalah kerana objektif AIM itu sendiri dan hal ini dibantu pula dengan sikap keterbukaan AIM kepada para Sahabat dalam melaksanakan programnya. Jumlah jangkauan yang luas serta sikap para sahabat yang bermotivasi untuk mengubah cara hidup mereka juga antara penyumbang kepada perkembangan AIM.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment