Qurban 1430H

Syariat dan ibadat korban, bukanlah hanya semata-mata menyembelih haiwan setahun sekali. Apa yang penting dalam konsep korban ialah keikhlasan dan ketaatan menunaikan perintah Allah SWT. Allah SWT menguji iman setiap MAKHLUKNYA, seperti menguji keimanan Nabi Ibrahim AS dengan memerintahkan baginda menyembelih Nabi Ismail AS. Allah SWT tidak memerlukan darah dan dagingnya. Allah SWT sekadar menguji keimanan Baginda Nabi Ibrahim AS dengan perintah dan ujian yang sangat berat itu.
Meskipun haiwan yang disembelih, namun sesungguhnya Allah tidak melihat kepada daging dan darah haiwan dikorbankan itu. Yang dilihat Allah adalah niat ikhlas dan ketaatan yang ada pada diri orang yang melakukan ibadah berkorban ini.

Firman Allah Subnahu Wata'ala, Mafhumnya: “Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai keredaan Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya.” (Surah al-Hajj, ayat 37)

Keperluan melakukan ibadah korban sebagai tanda bersyukur di atas rezeki yang diberikan Allah dapat kita menelitinya melalui Firman Allah Subnahu Wata'ala, Mafhumnya: "Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan-kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)." (Surah al-Kausar, ayat : 1-3)

Justeru PKWR Kubang Rotan mempelawa Tuan/Puan untuk melaksanakan Ibadah Korban bagi tahun 1430 Hijrah. Kepada yang berhajat untuk melakukan ibadah korban ini bolehlah menghubungi Pejabat PKWR 04-7723640 atau Sdr. Mazhar, Setiausaha PKWR 0194511132.

Sebagai panduan Tuan/Puan bolehlah memaklumkan berapa tumpuk/bahagian yang hendak disertai. Harga setumpuk ditetapkan pada kadar RM350.00

Semoga ibadah korban kita kali ini benar-benar menepati ciri-ciri keikhlasan, ketaatan serta kepatuhan kepada Allah SWT.
posted by admin....

0 comments: