KITA PERLU HORMATI BIDANG MASING-MASING”-Menteri Besar Kedah
Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif mengadakan perjumpaan antara Menteri Besar Kedah dengan Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.


Di kesempatan ini, Menteri Besar, YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menyampaikan amanat serta perkongsian maklumat dengan ketua-ketua jabatan yang hadir.
Katanya, tahun 2009 merupakan cabaran yang lebih berat di mana bahang krisis ekonomi yang melanda di peringkat global turut dirasai di Malaysia, mahupun di Kedah. Ia turut memberi kesan kepada peningkatan pengangguran yang dialami rakyat.
Oleh yang demikian, para pemimpin, pemikir lagi bijaksana serta rakyat perlu bekerjasama dalam menanganinya.
“Agensi kerajaan adalah jentera kepada kerajaan untuk memastikan semua dasar dan perancangan dapat dilaksanakan dan akhirnya rakyat dapat faedah berdasarkan polisi yang ditetapkan.
“Seperti di Kedah, kita ada projek Hidrokarbon Hub yang memberi peluang pekerjaan 30,000 kepada rakyat tempatan,” ujar beliau.
Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Dato' Seri Ustaz Azizan seringkali mengungkapkan dasar food security, di mana segala jenis pembangunan yang akan dilaksanakan tidak akan memusnahkan kawasan pertanian seperti sawah padi yang menjadi sumber ekonomi rakyat serta negeri.
Selain daripada perindustrian yang terdapat di Kulim dan Sungai Petani, Kerajaan Negeri turut menekankan pertanian makanan yang amat diperlukan oleh semua di seluruh dunia.
“Krisis yang dunia alami baru-baru ini berkaitan kekurangan makanan. Kedah lebih awal menekankan kepada pertanian makanan. Seluruh dunia orang makan, jadi kita guna tanah yang sedia ada pada tahap paling maksimum untuk penuhi keperluan makanan.
“Bila kita majukan sektor pertanian, maka kita boleh keluar daripada krisis dan kemelut makanan yang dihadapi, di samping kita berjaya menolong rakyat,” jelas beliau mengenai penekanan yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam menjana ekonomi negeri serta kesejahteraan rakyat.
Seringkali YAB Dato' Seri Ustaz Azizan menyatakan sikap terbukanya kepada para pemimpin serta pegawai negeri dalam memilih fahaman politik, namun mereka harus jalankan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.
“Saya memang bersikap terbuka, saya diberi amanah oleh rakyat untuk mentadbir Kedah hingga suatu masa Allah Taala mengizinkan, saya akan buat apa yang saya mampu, tapi bagi saya kita perlu hormati bidang masing-masing.
“Saya tak pernah halang pegawai-pegawai saya masuk mana-mana politik, tapi dalam tugas, lakukan dengan sebaik mungkin dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat, kalau nak jadi ahli politik, jadilah ahli politik yang profesional, adil dan jujur kepada rakyat yang telah memilih kita dalam menjaga hak-hak mereka,” ujar beliau.

0 comments: