KUBANG ROTAN – Enam keluarga yang rumah mereka terlibat dalam kebakaran di Kampung Balai, Lorong Madrasah, Kuala Kedah 21 Disember lalu, kini menarik nafas lega apabila kerajaan memberikan mereka rumah sewa beli milik penuh bayaran secara ansuran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kubang Rotan, Mohd Nasir Musatafa berkata, kerajaan mengambil masa lebih daripada seminggu untuk memberi rumah yang terbaik kepada mangsa kebakaran berkenaan dengan tidak memberi rumah penempatan sementara.
Katanya, ia memperlihatkan kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan tanggungjawab dengan menjaga kebajikan rakyatnya memberikan rumah sewa beli berkenaan dan tidak perlu membayar sewa bulanan pada enam bulan akan datang.
“Kerajaan negeri sangat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh mangsa-mangsa kebakaran berkenaan kerana tidak memberi rumah penempatan sementara malah menawarkan rumah sewa beli yang hanya perlu membayar RM70 sebulan pada enam bulan akan datang.
"Kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyatnya yang ditimpa musibah tetapi adalah perlu sebelum mengambil sebarang keputusan dan tindakan ia memerlukan masa dalam menyediakan yang terbaik untuk rakyatnya," katanya kepada sidang media di sini, kelmarin.
Sementara itu, Mohd Nasir berkata, selain memberikan rumah sewa beli berkenaan kepada mangsa kebakaran, pihaknya juga telah berusaha membantu mereka untuk mendapatkan bantuan zakat daripada Pejabat Zakat Kedah untuk meringankan beban dalam memulakan kehidupan seharian kelak.
“Hari ini (semalam) saya telah menghantar surat kepada pihak berkenaan dengan memohon bantuan zakat bagi mangsa kebakaran berkenaan.
"Saya merasakan bantuan ini perlu bagi mereka kerana seperti yang sedia maklum harta benda hangus di dalam kebakaran berkenaan dan sekiranya mereka memperoleh bantuan zakat, pastinya ia dapat meringankan beban ditanggung mereka," katanya.
Sementara itu, Zakaria Jalaludin, 34, berkata, dia sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri serta semua pihak yang terlibat dalam membantu mereka sekeluarga mendapatkan rumah sewa beli berkenaan.
"Kami sekeluarga berasa terharu dengan pemberian rumah sewa beli berkenaan kerana bukan sahaja tidak perlu membayar bayaran ansuran rumah pada enam bulan akan datang, tetapi bayaran yang dikenakan sangat berpatutan.
"Selain itu, kami sekeluarga merasakan bertuah kerana mempunyai sebuah kerajaan yang mengambil berat mengenai kebajikan rakyat, tambahan pula ketika kami yang sedang dilanda musibah ini," katanya. Seorang lagi mangsa, Zainun Senawi, 65, berkata, sebelum ini rumah didiaminya bersama tiga ahli keluarga termasuk anak dan menantunya, tetapi kerajaan negeri bermurah hati memberikan tiga rumah sewa beli berkenaan.
"Saya bersyukur kerana kami dahulunya berkongsi rumah kerana mahu berjimat, tetapi kerajaan negeri bermurah hati dengan memberikan tiga rumah tersebut untuk satu keluarga satu rumah, ia seperti ibarat 'bulan jatuh ke riba' kepada keluarga kami.
“Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada kerajaan negeri dan pihak yang terlibat dengan memberikan rumah sewa beli berkenaan serta membantu kami dalam usaha menjaga kebajikan kami semua yang ditimpa kesusahan dan musibah," katanya.

0 comments: