Oleh: AMELIA HASHIM


ALOR SETAR: Persidangan Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam Pakatan Rakyat yang pertama kali diadakan telah bersetuju menubuhkan Majlis Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri serta Majlis Exco.


Persetujuan yang dikenali sebagai ‘Pengisytiharan Mentaloon’ itu dicapai pada Persidangan Menteri-Menteri Besar Dan Ketua Menteri Kerajaan Negeri Bersama Kepimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Sri Mentaloon, di sini pada 18 Januari lalu.


Majlis-majlis ini ditubuhkan bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama antara lima negeri tersebut serta mencari persefahaman dalam menangani isu-isu yang dicetus oleh pihak luar.


Selain itu persidangan ini juga bersetuju menubuhkan sekretariat bagi mengendalikan urusan majlis tersebut di mana Majlis Menteri Besar/Ketua Menteri akan bersidang sekurang-kurangnya dua kali setahun sementara Majlis Exco yang turut dibentuk bagi kelima-lima negeri akan bersidang secara lebih kerap.


Menurut Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, majlis tersebut mempunyai bidang tugas untuk menjalankan agenda Pakatan Rakyat serta akan menyelaraskan program dan aktiviti selain mengurangkan perbezaan pendapatan antara kerajaan Pakatan Rakyat.


Manakala Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula berkata, melalui majlis itu keanggotaan dapat berkongsi maklumat dari segi kejayaan, pencapaian pelaksanaan pengurusan negeri dan juga masalah-masalah dari segi pentadbiran sekaligus menuju kepada satu taraf pengurusan negeri yang lebih mantap.


Sementara itu, turut memberi penjelasan kepada pertanyaan pihak media, Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang berpendapat, majlis ini kelal akan dipengerusikan oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri di negeri tempat persidangan diadakan.
Persidangan pada petang tersebut turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng selain disertai Exco-exco Kanan dan Setiausaha-setiausaha Politik Menteri Besar/Ketua Menteri.


Manakala persidangan pada sebelah malam pula dihadiri oleh pimpinan utama Pakatan Rakyat iaitu Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat Umum KeADILan, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, YB Lim Kit Siang.

0 comments: