RAFAH, Mesir 31 Jan (Hrkh) - Bendahari PAS Dr Hatta Ramli memaklumkan kepada Penolong Pengarang Harakahdaily Azamin Amin melalui sistem pesanan ringkas (sms) bahawa Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan 20 anggota rombongan PAS telah berjaya menyampaikan sumbangan bantuan kemanusiaan PAS sejumlah RM250,000 untuk meringankan derita penduduk Gaza di Palestin.


Kata Dr. Hatta yang kini berada di sana, Ustaz Hadi dan rombongan termasuk sembilan ahli parlimen PAS mahu melihat sendiri kemusnahan yang dialami rakyat Palestin di samping menyumbangkan sedikit sebanyak bantuan kemanusiaan bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung umat Palestin akibat serangan Zionis.


Rombongan pimpinan PAS yang berlepas ke Mesir 28 Januari lalu telah selamat tiba di Rafah semalam dan dalam usaha menuju ke Gaza, Palestin.


"Rombongan Presiden PAS telah mendapat taklimat daripada Duta Malaysia di Mesir dan turut mendapat sokongan namun kerajaan Mesir tidak membenarkan kami memasuki Gaza, dan masih berada di Rafah," katanya melalui sms tersebut.


Sebelum itu katanya, mereka telah melawat Hospital Arish pada sebelah paginya untuk melihat mangsa serangan Israel ke atas Palestin.


"Ramai sukarelawan pelbagai bangsa kecewa kerana tidak dapat sumbang bakti di Gaza akibat peraturan ketat kerajaan Mesir,"katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.
Arish jauhnya 40 kilometer dari Rafah dan adalah bandar berhampiran dengan sempadan antara Mesir dengan Palestin.

Di hospital itu katanya Tuan Guru Presiden PAS telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa serangan Zionis Isreal.

"Selain itu, Presiden dan rombongan dalam rangka lawatan menemui para pemimpin Ikhwan di Mesir, kemudian Damsyik, Beirut dan Amman seterusnya berjumpa dengan pemimpin Hamas sendiri.


"Objektif utama selain menyalurkan pelbagai jenis bantuan, Presiden dan pimpinan PAS mahu berbincang dan merangka bersama-sama pemimpin tersebut mekanisme dan tindakan terbaik bagi mengatasi kesengsaraan yang dihadapi penduduk Palestin khususnya Gaza disamping menilai sendiri kemusnahan yang dialami untuk tujuan bantuan seterusnya ," katanya.

Keesokannya (31 Januari, hari ini), rombongan pimpinan PAS itu akan berlepas ke Damsyik untuk menemui pemimpin tertinggi Hamas, Khalid Meshaal bagi meneliti langkah-langkah selanjutnya untuk rakyat Palestin khususnya melibatkan pembangunan semula Gaza dari segi modal insan, pendidikan dan ekonomi.


"Kami seterusnya akan melalui jalan darat ke Beirut menemui pemimpin gerakan Islam termasuk Hamas dan Fathi Yakan untuk berbincang masalahummah dan tindakan terdekat. Destinasi terakhir ialah Jordan untuk menemui pimpinan Ikhwan Muslimin dan untuk dapat taklimat tentang Tebing Barat.


"Jumlah sumbangan PAS sebanyak RM250,000 yang diterima daripada pelbagai pihak dan masyarakat prihatin di Malaysia telah berjaya kita sampaikan," katanya.


Selain beliau dan Presiden, ahli parlimen yang turut serta dalam rombongan ialah Salahuddin Ayub (Kubang Kerian dan Ketua Pemuda PAS), Dr. Dzulkifli Ahmad (Kuala Selangor), Dr. Lo' Lo' Ghazali (Tititwangsa), Dr. Mujahid Rawa (Parit Buntar),Mohd Nasir Zakaria (Padang Terap), Dr. Hayati Othman (Pendang), Roslan Shaharum (Bukit Gantang) dan beberapa akitivis yang lain.

"Terima kasih atas doa, sumbangan dan keprihatin orang ramai kepada rakyat Palestin dan semoga semangat perjuangan sentiasa disemarakkan dan doakan kami selamat kembali," kata Dr Hatta dalam sms ketujuh kepada Azamin lewat jam 10.00 malam semalam. - azm

(Bagi yang bersimpati sudikanlah menghulurkan sumbangan,demi insan-insan yang sedang dizalimi di Palestin melalui Tabung Kemanusiaan Harakah di akaun BIMB: 14069010021298).
petikan dari HarakahDaily

1 comments:

Anonymous said...

Se elok elok nya, bila tangan kanan memberi, biaq sampai tangan kiri pun tak tau. Baru nama sedekah dan amal jariah yang ikhlas. Ni kalau nak umum sana sini bagi tau semua orang dah hilang lah pahala semua orang menyumbang tu. Nanti lain kali nak buat majlis sumbangan cek gergasi la pula nak tunjuk kat semua orang. Kita jangan lah ikut sangat cara orang munafik sebelum kita. Itu nasihat saya la, kalau tak mau ikut saya tak boleh nak kata apa.