PENJELASAN ADUN KUBANG ROTAN

ISU KEBAKARAN DI KUALA KEDAH
Seperti biasa RTM dan TV3 menjalankan kerja rutinnya melancarkan propaganda tidak berasas untuk memburukkan kerajaan Pakatan Rakyat. Kelmarin kedua buah stesyen penyiaran itu bersepakat menyiarkan berita yang menggambarkan pihak kerajaan Pakatan Rakyat tidak turun padang menangani isu kebajikan terhadap enam buah keluarga di Kampung Madrasah yang rumah mereka terbakar pada 21 Disember 2008. Selaku wakil rakyat Kubang Rotan saya dituduh membuat janji palsu kepada mangsa untuk menyediakan kediaman yang selesa kepada mereka dalam masa seminggu.

Berikut penjelasan yang ingin saya berikan bagi membetulkan kekeliruan yang ditimbulkan oleh RTM, TV3 serta pihak-pihak yang cuba menangguk di air keruh untuk mencari sedikit keuntungan politik di sebalik penderitaan mangsa kebakaran.


Sejak kebakaran berlaku semua jentera kerajaan negeri telah digerakkan sepenuhnya bagi membantu mangsa dan meringankan beban mereka. Pusat Khidmat Wakil Rakyat Kubang Rotan, Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pertahanan Awam, Bulan Sabit Merah, Ahli-ahli MBAS, Majlis Ketua Kampung, Unit Amal Malaysia, Kelab Penyokong PAS, ahi-ahli serta penyokong Pakatan Rakyat betungkus lumus membantu mangsa dalam pelbagai bentuk bantuan. Begitu juga dengan NGO serta lain-lain badan kerajaan. Mereka menguruskan tempat tinggal sementara dan membekalkan makanan percuma sepanjang masa. Bahkan mereka berkampung di situ hingga ke saat ini.


Saya tidak pernah berjanji akan menyelesaikan masalah mangsa secara pasti dalam tempoh masa tertentu seperti didakwa, tetapi saya menyebut, “Insya’Allah saya cuba menyelesaikan masalah tuan-tuan sebelum persekolahan bermula.” Insya’Allah adalah istilah bahasa Arab yang bermaksud JIKA DIIZINKAN ALLAH.


Ekoran itu saya bekerja keras dengan semua agensi terbabit untuk menguruskan tempat kediaman sementara yang selesa kepada mangsa. Semuanya berjalan dengan lancar. Bagaimanapun terdapat beberapa halangan kecil yang terpaksa dilalui, menyebabkan hasrat tersebut tidak dapat ditunaikan sepantas kilat seperti yang kita kehendaki. Namun ia tetap dijangka jauh lebih cepat dari penempatan sementara mangsa Tsunami yang mengambil masa berbulan di Kedah dan bertahun di Pulau Pinang, di bawah kerajaan lalu.


Dakwaan bahawa pemimpin politik Pakatan Rakyat tidak turun padang adalah bohong semata-mata. Antara yang turun menangani masalah mangsa kebakaran tersebut ialah isteri YAB Menteri Besar, To’ Puan Faikah Hamzah, YB Ustazah Aishah Ghazali (Exco), YB Dr Ismail Salleh (Exco), YB Ir Phahrolrazi Md Zawawi (Exco), YB Lee Guan Aik (ADUN Kota Darulaman) dan YB Ahmad Kasim (Ahli Parlimen Kuala Kedah).


Bagaimanapun saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pemuda UMNO Kuala Kedah, Encik Shafik bin Shamsudin dan rombongan yang turun padang dan membuat ‘desakan’ terhadap kerajaan negeri selepas 9 hari tragedi kebakaran berlaku. Sekurang-kurangnya mereka turun juga daripada tidak turun langsung.


Saya kira sewajarnya Encik Shafik bin Shamsudin turut membuat desakan terhadap kerajaan Pusat kerana mereka juga turut mempunyai tanggungjawab terhadap rakyat yang berada di dalam negara ini. Pusat tidak boleh berlepas tangan dari membantu rakyat yang ditimpa bencana hanya kerana berbeza fahaman politik dengan Kerajaan Negeri walhal mereka mempunyai peruntukan yang lebih besar hasil dari kutipan cukai yang dibuat terhadap rakyat jelata.


AlhamdulilLah, usaha untuk memindahkan mangsa kebakaran ke rumah penempatan baru akan dibuat hari ini, 31 Disember, jam 2.30 petang dengan menjemput semua ketua keluarga mangsa kebakaran ke Wisma Darulaman untuk menyelesaikan proses-proses akhir yang berkaitan.


Akhir sekali saya meminta semua mangsa kebakaran bersabar dengan ujian yang ditimpakan oleh Allah SWT. Mungkin untuk meningkat darjat kita sebagai manusia yang beriman. Segalanya mempunyai hikmah yang Allah SWT sahaja yang maha mengetahui.


Insya’Allah, kebajikan rakyat adalah keutamaan kami. Penderitaan kamu tidak pernah tersisih dari lubuk sanubari kami.


MOHD NASIR BIN MUSTAFFA

ADUN Kubang Rotan

31 Disember 2008.

0 comments: